feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

(Indonesia Gempa) Padang sudah 389 kali digoncang gempa bumi 3 hari !!

Labels: , ,

JAKARTA: Ketika para pekerja mencari dan menyelamat sudah 72 jam bekerja keras menggali dan mencari mangsa dari celah-celah runtuhan lebih 11,000 bangunan akibat gempa 7.6 skala Richter (SR) Rabu lepas, dan sejak hari itu jugalah Sumatera Barat sudah digoncang 389 kali gempa bumi susulan.

Bagaimanapun gempa susulan itu yang berukuran lebih kecil iaitu antara 3.0 hingga 4.0 SR, mungkin tidak begitu dirasakan oleh penduduk tetapi masih berkemampuan mengakibatkan bangunan yang telah rosak strukturnya akibat gempa utama 7.6 SR itu, tiba-tiba runtuh dan mengancam nyawa.



Baca Selanjutnya

Ketua Bidang Maklumat Awal Gempa Bumi dan Tsunami, Badan Metereologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Jaya Murjaya berkata gempa susulan itu sifatnya hanya menghabiskan tenaga di dalam bumi setelah terjadinya gempa besar itu. "Gempa susulan tidak akan melebihi 7.6 SR dan masyarakat tidak perlu takut, tapi waspada saja," katanya dalam laporan agensi berita Antara di Padang, hari ini.

Sehingga tengah hari tadi, Pusat Penanganan Bencana di Padang, mencatatkan 448 kematian akibat gempa bumi yang terjadi pada pukul 5.16 petang Rabu itu, manakala mereka yang cedera parah berjumlah 237 orang dan hampir 2,100 lagi cedera ringan.

Jumlah kes kematian yang dicatatkan paling ramai ialah di Kota Padang, ibu kota Sumatera Barat iaitu 197 orang, diikuti di daerah kecil Padang Pariaman (184) dan selebihnya di beberapa kawasan sekitar.

Bagaimanapun pelbagai media massa lain dengan memetik pelbagai sumber melaporkan jumlah kematian setakat ini sudah melebihi 700 orang.

Jumlah bangunan termasuk rumah yang runtuh dan rosak teruk ialah 11,945 buah dan hampir 10,000 lagi rosak.

Antara warganegara asing yang dilaporkan masih hilang ialah kira-kira 100 orang daripada sejumlah 250 warganegara Australia yang berada di Padang ketika kejadian itu.

Sementara itu Menteri Kesihatan Indonesia Siti Fadilah Supari dilaporkan berkata beliau menganggarkan jumlah kematian akibat gempa bumi itu tidak melebihi 4,000 orang manakala Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) pula dilaporkan berkata angka kematian mungkin mencapai 1,100 orang.BERNAMA







(News) Nordin Mat Top Selamat Dikebumikan !!

Labels: ,


PONTIAN: Sembilan tahun selepas beliau melarikan diri dari Malaysia, pengganas nombor satu Asia Noordin Mat Top yang terbunuh di Indonesia bulan lepas, selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kayu Ara Pasong di sini kira-kira 7 malam ini.

Sebelum itu, ketibaan jenazah allahyarham Nordin yang mengetuai kumpulan serpihan radikal Jemaah Islamiyah (JI) di Masjid Nurul Iman kampung berkenaan kira-kira 6 petang telah disambut dengan laungan "Allahhuakbar" oleh lebih 500 penduduk kampung itu.

Jenazah allahyarham yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dari Jakarta dengan penerbangan Malaysia Airlines kira-kira 3 petang, telah dibawa pulang ke Pontian menggunakan van jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya dengan diiringi oleh anggota polis.

Abang Noordin, Yahya dan isteri pertamanya, Siti Rahmah Rusdi, seorang guru al-Quran di Kampung Sungai Tiram, Johor Baharu yang telah ke Jakarta semalam untuk menuntut jenazah allahyarham di Rumah Sakit Kramat Jati, turut mengiringi perjalanan terakhir jenazah kembali ke kampung halamannya hari ini.

Noordin yang mengetuai kumpulan serpihan JI yang dikenali sebagai "Tandzim Al-Qaedat Jihad Indonesia" terbunuh pada 17 Sept lepas di dalam satu operasi oleh pasukan khas anti keganasan Indonesia Detasmen Khusus 88 di Kepuhsari, Solo, Jawa Tengah.

Turut sama kelihatan di masjid terbabit adalah tiga orang anak Noordin hasil perkahwinannya dengan Siti Rahmah dan sanak saudara beliau.

Sejurus selepas jenazah tiba di perkarangan masjid, beberapa anggota keluarga rapat allahyarham tidak dapat mengawal emosi dengan menitiskan air mata dan ada yang pengsan sebaik sahaja melihat keranda yang bertuliskan nama Noordin dibawa masuk untuk solat jenazah.

Sementara itu, Masjid Nurul Iman yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah keluarga Noordin mulai sesak dengan anggota keluarga dan penduduk kampung sejak awal pagi selepas berita tentang pengebumiannya hari ini tersebar.

Jalan raya menuju ke masjid, rumah keluarga Noordin dan tanah perkuburan di kawal ketat oleh anggota polis bagi memastikan upacara pengebumian allahyarham berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Noordin yang dikenali sebagai "Money Man" bagi JI didakwa bertanggungjawab merancang siri pengeboman di Indonesia termasuk serangan ke atas dua buah hotel mewah di Jakarta barubaru ini yang mengakibatkan sembilan orang terbunuh termasuk dua orang pengebom berani mati.

Pada November 2005, rakan baik Noordin yang juga merupakan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azahari Hussin yang digelar "Demolition Man" kerana kepakarannya membuat bom terbunuh di dalam satu operasi pasukan keselamatan Indonesia di Malang, Jawa Timur.BERNAMA